Islam Itu Indah

Bismillah
Dua hari lepas, saya menziarahi Sydney bersama suami dan seorang bayi kami.  5 orang anak lagi ditinggalkan di rumah.  Alhamdulillah, perjalanan untuk berkongsi sedikit ilmu dengan para pelajar di sana dipermudahkan Allah.  Terdapat beberapa orang pelajar yang sanggup menolong  melihat-lihatkan anak-anak kami.
Dalam perjalanan Melbourne-Sydney, kami menaiki pesawat Qantas.  Perjalanan domestik ini tidak memerlukan pasport dan juga tidak perlu melintasi bahagian imigresen yang mengecop pasport.  Jadi saya tidak nampak keperluan membuka purdah.  Walaupun begitu, saya bersedia membukanya jika diminta oleh pihak keselamatan.  Saya mengambil langkah berjaga-jaga dan bersedia sambil melihat reaksi pegawai keselamatan yang ada di situ.
Jika perjalanan antarabangsa, biasanya saya membuka purdah ketika tiba di kaunter imigresen di mana-mana negara.  Meskipun di sebuah negara yang majoriti rakyatnya memakai niqab (purdah) seperti di Arab Saudi.  Ia satu keperluan dan satu keharusan bagi wanita yang memakai niqab.  Sama seperti harusnya membuka niqab ketika menjadi saksi dan lain-lain urusan muamalat.  Ia tidak menjejaskan nilai istiqamah menunaikan kebaikan berniqab.  Sama seperti seorang yang bermusafir menunaikan solat jamak-qasar dan kembali menunaikan solat penuh dalam waktunya sebaik habis tempoh bermusafir.  Juga, samalah seperti lelaki yang berserban dan berjubah, yang memakai seluar paras lutut dan bert-shirt sahaja ketika mahu mandi di tempat awam.  (Ke ada yang mandi kolam pakai serban?  Dahsyat betul nilai istiqamah dia kalau begitu).
Selepas habis tempoh pengecaman, saya mengenakan kembali purdah.  Secara peribadi, purdah menambah keyakinan diri saya untuk berkomunikasi dengan lelaki ajnabi.  Apatah lagi, secara fitrahnya, wanita lebih pemalu berbanding  lelaki.    Bagi wanita yang memilih mengenakan purdah ketika berkomunikasi dengan ajnabi, mereka masih menurut nas wahyu dari ayat 53 dari surah al-Ahzaab, meskipun wujud khilaf pendapat dalam menafsirkan ayat tersebut.   Oleh kerana menghijab wajah itu termasuk dalam perkara yang dibenarkan Islam, maka wanita yang memilih purdah masih dikategorikan sebagai menurut kesederhanaan yang dianjurkan Islam.
Semasa saya dan suami mahu beratur di bahagian pemeriksaan keselamatan, seorang pemuda mat saleh yang mahu masuk dalam barisan mempersilakan kami ke hadapan.  Dia memakai subang berwarna perak di telinganya.  Saya merasa sedikit lega melihatnya yang tidak prejudis terhadap saya yang memakai niqab.  Tidak seperti kebanyakan warga Islam di Malaysia.  Sebenarnya, selepas setahun berada di sini, saya dapati tidak sukar bergerak di tempat awam dengan berpurdah.  Bahkan seringkali juga disapa mesra baik dari lelaki atau wanita Inggeris.  Alhamdulillah.
Saya teringat pandangan seorang sahabat yang pernah berniqab di UK.  Katanya berniqab di sana lebih mudah dibandingkan di Malaysia, lebih-lebih lagi dalam berada dalam keluarga keturunan ulama.  Entahlah, saya tiada pengalaman berada dalam keluarga ulama kerana latar belakang keluarga saya adalah golongan bangsawan dulu-dulu berketurunan Wan.  Moyang perempuan sebelah Abah saya dikatakan masih kerabat dengan raja Melayu di selatan Thailand.  Moyang lelaki pula, Allahyarham Tok Wan Ali berkawan rapat dengan ayahanda Tengku Razali Hamzah.
Dalam perjalanan pulang Sydney-Melbourne, kami menaiki pesawat Tiger.  Di bahagian pemeriksaan keselamatan, seperti biasa,  barangan kami seperti beg sandang, handphone, kamera, handbag dan stroller di scan.  Stroller itu asyik mengeluarkan bunyi bila melintasi alat pengimbas.  Iyalah… sebahagian dari badannya diperbuat dari besi.  Cepat-cepat pegawai keselamatan memeriksanya.  Begitulah yang berlaku semasa kami ke Canberra beberapa bulan yang lepas.   Bayi wajib didukung dan tidak boleh melintasi bersama stroller (maksudnya duduk di dalam stroller semasa stroller ditolak).   Sama juga berlaku semasa kami datang ke Sydney malam semalam.
Saya memandang mereka dengan rasa kasihan dan juga gelihati.  Adakah kerana saya berpurdah, maka mereka ketakutan dek bimbang saya membawa bahan letupan?  Bagaimana dengan ramai lagi pengganas sebenar yang berseluar panjang dan bert-shirt atau memakai kemeja dan pelbagai fesyen lagi?  Kenapa saya tidak membuka sahaja purdah agar proses menjadi lebih mudah?
Selepas barangan kami melintasi alat imbasan, kami pula perlu melalui ‘body scanner’.  Tiada sebarang bunyi dikesan.  Jika kita tidak buat salah, tiada apa yang perlu ditakutkan.  Saya sangka pemeriksaan sudah selesai sebagaimana yang saya lalui sebelum ini,  namun sebenarnya tidak. Seorang pegawai keselamatan menunjukkan satu nota dan saya membacanya.  Nota itu meminta izin saya untuk dibuat pemeriksaan sekali lagi menggunakan alat pengesan khas bahan letupan.  Hanya saya seorang.  Suami  tidak perlu.  Secara normal, saya merasa sedikit gugup namun alhamdulillah, ketenangan kembali merajai  hati.   Ada bisikan yang memujuk, “Biarkan mereka… runtuhkan persepsi negatif mereka secara praktikal.  Insya Allah, diharapnya selepas ini, lebih mudah muslimah berniqab melalui proses pemeriksaan keselamatan di negara-negara kuffar ini.”
Saya terus bersetuju untuk diperiksa sekali lagi.  Cuma saya diberi pilihan, sama ada mahu dibuat di tempat tertutup atau dibuat di situ sahaja.  Hmm… dalam mahu memeriksa isu keselamatan begitu pun, mereka masih meraikan hak asasi saya sebagai wanita berhijab, bila teringatkan hak asasi di Malaysia- speechless.  Astaghfirullah, astaghfirullah, astaghfirullah.  Daripada menyumpah seranah kerajaan korup itu secara tidak berkesan, lebih baik  saya beristighfar.  Astaghfirullah.
“Bagaimana proses pemeriksaan ini dilakukan?”  suami bertanya.
“Hanya begini dan begini”, beritahu pegawai polis itu sambil menunjukkan cara.
Oh… tidaklah sampai perlu membuka hijab.  Dia hanya akan mengimbas dengan alat tersebut di bahagian pergelangan tangan dan kaki tanpa menyentuh saya.  Boleh saja…
“Ok, kalau begitu, buat di sini sahaja”, suami memberi izin.
Pegawai tersebut segera melakukan pemeriksaan dengan wajah tanpa senyuman.  Saya kira dia berbangsa India.  Seusai pemeriksaan, suami segera mengucapkan terima kasih.  Saya meninggalkan dia sambil senyuman memanjang di wajah.  Namun saya tahu dia tidak  melihatnya.
nilah kali pertama dalam hidup saya yang sudah berjalan di merata negara, saya diminta membuat sedikit pemeriksaan bahan letupan.
Biarlah ketakutan, kebimbangan dan persepsi negatif mereka diruntuhkan dengan jentolak praktikal saya.  Itulah yang saya fikirkan.
These icons link to social bookmarking sites where readers can share and discover new web pages.
  • Digg
  • Sphinn
  • del.icio.us
  • Facebook
  • Mixx
  • Google
  • Furl
  • Reddit
  • Spurl
  • StumbleUpon
  • Technorati

Leave a comment